Categories
Serpihan Catatan

Mimpi-mimpi Sebelum Pagi

Sebulan kebelakangan ini, saya sering bermimpi aneh. Dikejar katak gergasi, serangga menjelma raksasa, jatuh ke dalam lubang, ditikam. Dan apabila pagi, saya terjaga dalam debar. Saya tahu saya memulakan hari dengan rasa tidak gembira.

Seringnya saya bermimpi setelah memaksa untuk tidur. Ada banyak kegusaran menimpa-nimpa dalam fikiran, menghalang fikiran menjadi larut dan lena. Saya cuba berkalih tempat, memasang Netflix, membiarkan cerita-cerita mengusir kegusaran dan dialog mengganti pertengkaran dalam kepala.

Sedar-sedar sahaja matahari pagi mencuri-curi masuk dari tingkap nako, udara dingin menjadi hangat, dan saya harus berangkat memulakan hari yang tidak ingin saya mulai.

Masa depan sering menakut-nakutkan kita
tentang siapa terlebih dahulu menakluki nasib
sedang kita lebih senang membiarkan peperangan
memenangi dan mengalahkan diri mereka sendiri.

Menakluk Percakapan – Ainunl Muaiyanah

Saya sering mengulang siar puisi ini, ketika saya gelisah, ketika saya di persimpangan, ketika saya dalam ketidakpastian tentang masa depan. Kadangkala kita menulis puisi, kepada diri kita sendiri, pada masa depan. Sebagai perca ingatan, sebagai sepercik cahaya yang menyuluh laluan berkabus gelita.

Saya berharap saya menempuh tahun yang lebih tenang. Dua tahun pandemik, seharusnya saya menghentikan segala yang bergerak pantas. Mengutip hikmah dalam masa yang beralun perlahan.

Tetapi entah mengapa, ada keterbalikan. Dada saya lebih berdebur debar, mimpi-mimpi menakutkan menemani jaga pagi, pagi datang sebelum sempat saya menikmati malam.

Categories
Serpihan Catatan

Pelajaran Tentang Bunga Kertas

Pokok bunga kertas di halaman rumah saya ini sebenarnya tinggalan daripada penyewa terdahulu. Atau sebenarnya dari tuan rumah. Tuan rumah pernah berpesan,

Kalau nak tebang, tebang sahaja

Tuan Rumah

Bertahun-tahun kemudian, saya tidak pula menebangnya. Walaupun saya cenderung suka akan tanam edible plant, tetapi pokok yang sudah ada mengapa ingin ditebang. Pengalaman membesar bersama pokok bunga kertas pelbagai warna di sekeliling rumah, serta melihat keghairahan ibu mengahwinkan anak pokok serta ibu suka pula meminta keratan batang dari sesiapa yang memiliki pokok bunga kertas cantik, menjadikan pokok bunga kertas perlahan-lahan kekal penghuni rumah halaman rumah.

Sebenarnya, kadangkala saya suka membiarkan pokok bunga kertas ini tumbuh meninggi, meliar dengan ranting duri berceranggahan. Musim panas tiba menggalakkan bunganya yang merah keunguan menghampiri warna remia. Musim hujan meluruhkan bunga dan menghamparkan pemandangan semi musim luruh.

Saya jatuh kagum dengan pokok bunga kertas remia yang tidak manja belaian serta tahan duga. Tanpa baja, tanpa apa-apa. Ia hidup sendiri. Kadangkala semakin dicantas semakin galak ia menjulurkan rantingnya.

Belajar tentang pemuliharaan, saya memang tidak mahu menyentuh dan membiarkan pokok bunga kertas meliar begitu. Serta menikmati seni persembahan penumbuhannya dengan cara apa pun.

Tetapi saya juga belajar tentang pengurusan biodiversiti. Bahawa semua keadaan tidak boleh dibiarkan terlalu berlebihan dan berkurangan. Ia harus sederhana supaya ekosistem menjadi tidak terganggu. Setiap yang berlebihan, alam akan bertindak balas melawan.

Ranting bunga kertas ini mula menjulur menghalang kereta masuk ke parkir. Sesekali batang tua membalarkan cat kereta. Aduhai. Rantingnya juga mula memasuki kawasan rumah jiran, berselirat dengan pokok kari. Aduhai.

Ya, kalau boleh kita memang mahu membiarkan sahaja keliaran di halaman rumah. Tetapi jika ia telah mula menjadi tidak terkawal dan berlebihan, tidak boleh tidak kita harus memangkasnya, merapikan supaya ia rimbun dengan lebih sopan (walaupun selalunya tidak).

Prosesnya mungkin akan melukakan kita tetapi ia tindakan yang perlu.

Musim pandemik ini, saya banyak teringat zaman pengajian. Mungkin inilah hukum alam. Apabila kita menjadi terlalu berlebihan, alam bertindak balas untuk mengimbangkan semula.

Semoga pokok bunga kertas ini tidak takut untuk tumbuh meliar dan mempesonakan. Setiap pangkasan adalah pelajaran untuk tumbuh teguh dan kuat. Dan setiap yang hilang untuk diganti dengan batang yang kuat berdiri.

*tulisan ini pernah dikongsikan di Facebook

Categories
Serpihan Catatan

Selamat Datang Disember 2020

Suatu keanehan, kita sering mencipta segala cita-cita pada hujung tahun, mulai mahu menanamnya pada awal tahun. Dah berharap tumbuh subur dari bulan ke bulan pada tahun itu.

Disember sering hadir dengan kejutan. Sama ada kita mulai melihat dan menilai tumbuh subur cita-cita. Atau terkedu kerana datang tanpa diduga? Aha apakah yang kita tanamkan pada awal tahun?

Dan saya sendiri sering mencipta beberapa kebetulan pada Disember. Dan lebih 10 tahun lalu. Saya mula mendaftar dan menulis secara tekun di birungu.wordpress.com

Saya sering melakukan ritual berterima kasih setiap tahun kerana Disember sering menghadirkan salji di blog lama dan entah mengapa saya kerap dan sering menulis pada Disember. Rasa terima kasih seringnya kepada beberapa hal.

1. Menulis di sana menemukan ramai rakan baharu, yang terus bersahabat di luar alam maya sehingga kini

2. Blog itu menjadi latihan saya menulis dari hal-hal yang entah apa apa kepada hal yang serius.

3. Menulis di sana sering menjadi percakapan kepada diri sendiri tanpa perlu menilik berapa suka atau kongsi

4. Penulisan di blog sering menjadi peribadi yang senang dikongsi baca.

5. Dari latihan, diskusi di blog telah lahir 2 buku saya: Sepetang Di Kafe Biblioholic, Perempuan Bulan Perempuan Hujan

Lalu, untuk tahun 2020 yang Disember datang lebih awal dari sangkaan kita, saya membuka lembaran baru. Sebuah buku terbuka di sini, ainunlmuaiyanah.com.

Saya merancangnya sudah terlalu lama, tetapi banyak hal yang menyekat. Tetapi musim wabak mengajar saya satu hal, usah menunggu untuk kesempurnaan. Tempuh sahaja masa depan yang kekaburan ini.

Di rumah kecil ini, saya ingin kembali muda. Kembali menjadi anak-anak. Kembali kepada hal yang saya cintai : menulis dengan hati terbuka dan sepenuh rasa kasih, dengan sederhana.

Sudikah saudara menemani perjalanan yang sunya sunyi ini?

Selamat datang Disember 2020.