Categories
Serpihan Catatan

Pelajaran Tentang Bunga Kertas

Pokok bunga kertas di halaman rumah saya ini sebenarnya tinggalan daripada penyewa terdahulu. Atau sebenarnya dari tuan rumah. Tuan rumah pernah berpesan,

Kalau nak tebang, tebang sahaja

Tuan Rumah

Bertahun-tahun kemudian, saya tidak pula menebangnya. Walaupun saya cenderung suka akan tanam edible plant, tetapi pokok yang sudah ada mengapa ingin ditebang. Pengalaman membesar bersama pokok bunga kertas pelbagai warna di sekeliling rumah, serta melihat keghairahan ibu mengahwinkan anak pokok serta ibu suka pula meminta keratan batang dari sesiapa yang memiliki pokok bunga kertas cantik, menjadikan pokok bunga kertas perlahan-lahan kekal penghuni rumah halaman rumah.

Sebenarnya, kadangkala saya suka membiarkan pokok bunga kertas ini tumbuh meninggi, meliar dengan ranting duri berceranggahan. Musim panas tiba menggalakkan bunganya yang merah keunguan menghampiri warna remia. Musim hujan meluruhkan bunga dan menghamparkan pemandangan semi musim luruh.

Saya jatuh kagum dengan pokok bunga kertas remia yang tidak manja belaian serta tahan duga. Tanpa baja, tanpa apa-apa. Ia hidup sendiri. Kadangkala semakin dicantas semakin galak ia menjulurkan rantingnya.

Belajar tentang pemuliharaan, saya memang tidak mahu menyentuh dan membiarkan pokok bunga kertas meliar begitu. Serta menikmati seni persembahan penumbuhannya dengan cara apa pun.

Tetapi saya juga belajar tentang pengurusan biodiversiti. Bahawa semua keadaan tidak boleh dibiarkan terlalu berlebihan dan berkurangan. Ia harus sederhana supaya ekosistem menjadi tidak terganggu. Setiap yang berlebihan, alam akan bertindak balas melawan.

Ranting bunga kertas ini mula menjulur menghalang kereta masuk ke parkir. Sesekali batang tua membalarkan cat kereta. Aduhai. Rantingnya juga mula memasuki kawasan rumah jiran, berselirat dengan pokok kari. Aduhai.

Ya, kalau boleh kita memang mahu membiarkan sahaja keliaran di halaman rumah. Tetapi jika ia telah mula menjadi tidak terkawal dan berlebihan, tidak boleh tidak kita harus memangkasnya, merapikan supaya ia rimbun dengan lebih sopan (walaupun selalunya tidak).

Prosesnya mungkin akan melukakan kita tetapi ia tindakan yang perlu.

Musim pandemik ini, saya banyak teringat zaman pengajian. Mungkin inilah hukum alam. Apabila kita menjadi terlalu berlebihan, alam bertindak balas untuk mengimbangkan semula.

Semoga pokok bunga kertas ini tidak takut untuk tumbuh meliar dan mempesonakan. Setiap pangkasan adalah pelajaran untuk tumbuh teguh dan kuat. Dan setiap yang hilang untuk diganti dengan batang yang kuat berdiri.

*tulisan ini pernah dikongsikan di Facebook