Site Title

    • About
    • Kata Pembaca

  • @airazira

    View this post on Instagram

    A post shared by Aira Zira (@airazira)

    Yang Tinggal Hanya Kenangan – Ainunl Muaiyanah ☕️

    oleh @airazira

    ⭐️⭐️⭐️⭐️

    Teh dan kopi, yg mana pilihan korang? Saya penggemar teh tapi buku ni lebih menggemarinya. Seperti semua tentang teh dan kopi lengkap diceritakan dalam ni. Lebih menarik bila dikaitkan pula dgn buku. 

    Baca novel ni seperti baca buku resepi. Resepi kehidupan. Membawa kita dgn pelbagai persepsi kehidupan. Bagaimana cara kita menghadapi dunia yg terbentang. Juga macam mana kita membawa kenangan itu sebagai penerus masa depan.

    Bait2 kata yg puitis dan sgt bermakna di setiap muka surat. Setiap dialog yg penulis cipta terasa hidup dan tak kosong. Serba sedikit menegur dan mengingatkan kita tentang banyak perkara.

    Bertambah menarik apabila impian saya turut terbina dalam novel ni. Bila mana Kamelia berjaya melakarkan kenangan dia dan ibunya pada sebuah kafe buku yg pernah diimpikan. Andai suatu hari nanti saya juga boleh merealisasikan kafe buku saya sendiri.

    Jujur saya jatuh sayang dgn buku ni. Teh, kopi, kafe dan buku itu sendiri sgt dekat dgn hidup saya. Betapa saya rindukan berada dibawah bumbung kafe dan bau biji kopi. Semoga suatu hari nanti mimpi-mimpi indah akan jadi kenyataan.🫶🏻🫶🏻

    #bookrecommendations#bookstagrammalaysia#bookstagram#novelmelayu#bookaddict#booklover#igreads#goodreads#bookish#bookoftheday#fictionbooks#bookworm#bookofinstagram#bookreview#yangtinggalhanyakenangan#ainunlmuaiyanah#ruumabooks#imanpublication

    September 17, 2025

  • Sebuah Bandar Bernama Sri Damansara i

    Semasa mula datang ke Bandar Sri Damansara, saya terpikat dengan ketenangan bandar ini. Diapit antara kekacauan Damansara Damai, atau keelitan Desa Park City, Sri Damansara seperti ruang tengah yang menyederhanakan dua hal ini.

    Kalau lihat dari peta, bentuknya oval. Kita berkendera mengelilingi oval dan kembali ke titik mula, sama ada kita berputar melihat hal yang sama, atau kita berputar meneliti hal yang sama yang berkembang setiap hari.

    Semasa pejabat berpindah ke Jalan Kenanga, ada juga seorang dua jiran bertanya, bolehkah sebuah kedai buku bertahan di sini? Tetapi dalam masa setahun, lebih banyak kedai makan membuka pintu, satu lorong sahaja ada 5 kedai makan dibuka dan jalan menjadi lebih meriah daripada biasa.

    Kemudian semasa pejabat berpindah di lorong belakang Jalan Ara, tiada banyak kedai yang dibuka, tanda for rent di hadapan pintu kedai begitu banyak sekali, setiap hari tidak perlu berebut parkir. Kalau hujung minggu memang lengang. Walaupun ada yang berpendapat lebih baik pindah ke lorong utama, tetapi saya percaya di mana pun kita akan tumbuh lebih baik.

    Sekarang kebanyakan kedai sudah berpenghuni. Sudah ada empat lima kafe tumbuh, lorong belakang Jalan Ara semakin meriah, sehingga sesekali saya tidak dapat mencari parkir.

    Saya sempat bergurau dengan Karim, ke mana pun kita pergi, tempat itu pasti akan membangun. Dahulu sepi tidak dipandang, sekarang menjadi pilihan.

    Walaupun harus memandu 50 km setiap hari, Melawati-Sri Damansara-Melawati. Dua-dua bandar ini memiliki hal yang sama. Sebuah bandar itu dibahagiakan oleh komunitinya. Setiap kali kita pulang, sama ada ke pejabat atau ke rumah, kita kembali kepada ketenangan yang sama.

    Beberapa tahun di sini, segalanya pantas berubah, semenjak MRT dibina, wajah Sri Damansara meskipun sama tetapi sudah semakin berubah, apakah ia akan jadi sebuah Wangsa Maju?

    Saya meninggalkan Wangsa Maju, yang mulanya tenang tetapi setelah bukit digondolkan, apartment dibina, Wangsa Maju bukanlah Wangsa Maju yang saya kenali. Sesekali kembali melalui Wangsa Maju, saya tahu walau wajahnya telah berubah, kekacauan jiwanya masih sama.

    Mungkinkah Bandar Sri Damansara juga begitu?

    Mungkin tiba masa berangkat, melihat bandar lain pula berkembang.

    Ogos 7, 2025

  • Rumah Api Dibakar Duka


    (esei ini pernah disiarkan di Zine Tukang Puisi)


    Kata Rumah Api


    Sebuah bangunan putih berdiri di terjal. Menghadap laut di pinggir Kuala Selangor.
    Bangunan ini sering mengocak fikiran saya semasa kecil. Apakah itu menara atau tempat ibadat? Mengapa bangunan itu ada di sana? Tidak pernah kelihatan ada orang mahupun pohon di sekelilingnya. Menara putih itu terasing daripada keramaian. Teguh berdiri, dan diselubungi misteri. Di puncaknya ada lampu yang berkelip-kelip dan berputar-putar. Atau mungkin sahaja ada kod rahsia yang sedang dikirimkan oleh seseorang?
    Ketika itu, fikiran meliar dengan segala kemungkinan. Terkemudian, saya baru tahu bangunan itu bernama rumah api. Rupanya, ia bukan sekadar lokasi penyiasatan dalam buku pengembaraan kanak-kanak Hardy Boys, tetapi berfungsi penting memberi panduan kepada kapal-kapal yang berlayar pada malam hari.
    Kini, sewaktu menikmati kumpulan puisi T. Alias Taib, bacaan saya menemui puisi “Kata Rumah Api”. Masa seolah-olah terhenti. Ingatan membawa kembali kegelisahan zaman kanak-kanak kepada bangunan misteri yang bersendirian di terjal itu.


    T. Alias Taib
    aku lilin meleleh dibakar bulan
    aku lilin pedih ditusuk karang
    kepada kapal mengantuk
    dan kelasi mabuk
    kuhantar sepercik cahaya
    kepada dua kekasih
    yang sedang berkasih
    kuhampar sebidang tikar
    siapakah pernah mengukur
    berapa dalam
    sepiku yang riuh.


    Rumah api sudah berubah menjadi sebatang lilin. Berdiri bersendirian. Cahaya bulan sebagai kepala apinya. Berdiri di atas gerigi karang terjal. Anak kecil dalam diri saya tiba-tiba menjelma dewasa. Kemahuan mengikuti pengembaraan Hardy Boys lagi telah melesap. Dia ingin menjadi rumah api itu sendiri.

    Dia mahu memberi percik peringatan kepada kapal-kapal di lautan. Awas, ada laut cetek di sini. Hati-hati! Jangan sampai ditusuk karang. Terhempas tenggelam! Cepat, tetapkan haluan. Selamat belayar! Ah, kepada kekasih yang melihat kerdip cahayaku. Sebentar. Perhatikan sahaja. Aku memutarkan cahaya seperti pertunjukan kelip-kelip bunga api sambil memeluk bahagia.
    Puisi “Kata Rumah Api” membuka keinginan. Saya merasakan mahu menjauh
    daripada segala gempa keramaian dan mencipta keriuhan sendiri.


    Kemudian saya terbaca dalam sebuah catatan, penulisnya mencoret potongan puisi “Berbagi Duka” oleh Anwar Ridhwan. Tiba-tiba sahaja si dewasa dalam diri saya mahu mendesup menjadi anak kecil.
    Puisi yang terpenggal ini mengekori saya bertahun-tahun untuk mencari puisi
    penuhnya. Mujur nasib sering berbuat baik. Saya menemui puisinya pada suatu malam di pejabat seorang teman. Puisi itu ada di antara tumpukan buku-buku lama yang duduk diam tidak terusik.

    Berbagi Duka
    Anwar Ridhwan


    kudengar patrum mendedas dari senapang
    menceritakan luka sebuah hutan
    kulihat pukat diturunkan
    meriwayat riba sebuah lautan
    ku dengar sesuatu melengking
    antara tikton dan jarum jam
    kupelihara kalian, burung-burungku
    (di sangkar ini)
    kupelihara kalian, ikan-ikan karang
    (di akuarium ini)
    kupelihara diriku disini
    apakah yang lebih membahagiakan kita
    selain berbagi duka
    kau sepertiga, kau sepertiga, aku sepertiga
    di dunia kita bertiga

    Pada malam itu, ingatan pada perca puisi itu bercantum. Anak kecil dalam diri ini seolah-olah dibawa ke di taman permainan. Dia diajar berkongsi, memberi dan menerima segala-galanya dengan dunia. Ini untuk ikan di akuarium, ini pula untuk burung, mungkin kucing manja di riba. Jangan risau pada senapang dan pukat yang tidak akan memerangkapmu. Aku tahu dukanya.
    Puisi ini merentangkan persoalan. Bukankan beban duka menjadi lebih ringan jika ditanggung bersama? Seperti saranan pepatah, berat sama dijunjung ringan sama dijinjing.
    Saya menjadi lebih berlapang dada. Segala rasa berlibang-libu di dalam dada tidak hanya pecah sendiri.


    T. Alias Taib memerikan perihal kesendirian dalam “Kata Rumah Api”. Seperti seorang penulis yang menjarakkan dirinya daripada terbabit dalam banyak hal. Dia ingin menulis tanpa perlu untuk ada di tengah-tengah semua peristiwa. Dia percaya pada pekerjaannya, dan fungsinya. Meskipun kejauhan, tulisannya menjadi cahaya lilin yang mengerdip. Meski sayup tetapi ada. Tulisan yang boleh menjarakkan bahaya dan memberi bahagia dengan caranya.
    Puisi Anwar Ridhwan “Berbagi Duga” menerbitkan rasa memberi dan berbagi seadil mungkin. Penulis peka dengan penderitaan burung di hujung senapang, ikan yang terperangkap di jaringan. Dia ingin turun menjadi penyelamat dan suara kegelisahan masyarakat. Tulisannya harus jadi peluru senapang dan jerat pemangsa. Meskipun akhirnya ikan dikurung, dan burung disangkarkan.
    Mencipta keriuhan sendiri atau berbagi kedukaan bersama-sama ini seperti pilihan yang sulit dan mendadak. Seorang sasterawan sering terjerat berada di antara situasi yang
    ribut: harus bersikap dan tidak bersikap?
    Ketika sebuah replika seni diruntuhkan, sasterawan diseru turun ke jalanan, menulis protes dan mengkritik tindakan dungu si pelaku. Bagaimana dengan mereka yang memilih untuk mendengar lagu jaz, menulis puisi romantik dan membicarakan hal-hal sederhana seperti seruling dan hujan pagi?
    Semasa bahasa didesak menjadi separa belut dan separa ular, kita dituntut mencipta rusuh, bersedia dengan gas pemedih, dan kata-kata berhamburan di mana-mana. Bagaimana dengan mereka, yang melihat rusuhan itu di berita sambil menyuap sarapan pagi atau berdiri di kejauhan dengan secawan kopi hangat?
    Siapa yang bersikap dan tidak bersikap?

    Antara rumah api yang sendiri di terjal, atau pemelihara ikan dan burung yang sering berbagi, setiap satunya boleh memberi peranan dan kesannya yang tersendiri. Seperti dua puisi ini: “Kata Rumah Api” dan “Berbagi Duka” menyatakan sikap dengan caranya. Kedua-duanya boleh mendewasakan anak kecil dan mengecilkan orang dewasa.

    Sememangnya hidup adalah pilihan.

    Januari 30, 2025

Blog di WordPress.com.

  • Langgan Telah melanggan
    • Site Title
    • Already have a WordPress.com account? Log in now.
    • Site Title
    • Langgan Telah melanggan
    • Daftar
    • Log masuk
    • Report this content
    • View site in Reader
    • Manage subscriptions
    • Collapse this bar