Semasa mula datang ke Bandar Sri Damansara, saya terpikat dengan ketenangan bandar ini. Diapit antara kekacauan Damansara Damai, atau keelitan Desa Park City, Sri Damansara seperti ruang tengah yang menyederhanakan dua hal ini.
Kalau lihat dari peta, bentuknya oval. Kita berkendera mengelilingi oval dan kembali ke titik mula, sama ada kita berputar melihat hal yang sama, atau kita berputar meneliti hal yang sama yang berkembang setiap hari.
Semasa pejabat berpindah ke Jalan Kenanga, ada juga seorang dua jiran bertanya, bolehkah sebuah kedai buku bertahan di sini? Tetapi dalam masa setahun, lebih banyak kedai makan membuka pintu, satu lorong sahaja ada 5 kedai makan dibuka dan jalan menjadi lebih meriah daripada biasa.
Kemudian semasa pejabat berpindah di lorong belakang Jalan Ara, tiada banyak kedai yang dibuka, tanda for rent di hadapan pintu kedai begitu banyak sekali, setiap hari tidak perlu berebut parkir. Kalau hujung minggu memang lengang. Walaupun ada yang berpendapat lebih baik pindah ke lorong utama, tetapi saya percaya di mana pun kita akan tumbuh lebih baik.
Sekarang kebanyakan kedai sudah berpenghuni. Sudah ada empat lima kafe tumbuh, lorong belakang Jalan Ara semakin meriah, sehingga sesekali saya tidak dapat mencari parkir.
Saya sempat bergurau dengan Karim, ke mana pun kita pergi, tempat itu pasti akan membangun. Dahulu sepi tidak dipandang, sekarang menjadi pilihan.
Walaupun harus memandu 50 km setiap hari, Melawati-Sri Damansara-Melawati. Dua-dua bandar ini memiliki hal yang sama. Sebuah bandar itu dibahagiakan oleh komunitinya. Setiap kali kita pulang, sama ada ke pejabat atau ke rumah, kita kembali kepada ketenangan yang sama.
Beberapa tahun di sini, segalanya pantas berubah, semenjak MRT dibina, wajah Sri Damansara meskipun sama tetapi sudah semakin berubah, apakah ia akan jadi sebuah Wangsa Maju?
Saya meninggalkan Wangsa Maju, yang mulanya tenang tetapi setelah bukit digondolkan, apartment dibina, Wangsa Maju bukanlah Wangsa Maju yang saya kenali. Sesekali kembali melalui Wangsa Maju, saya tahu walau wajahnya telah berubah, kekacauan jiwanya masih sama.
Mungkinkah Bandar Sri Damansara juga begitu?
Mungkin tiba masa berangkat, melihat bandar lain pula berkembang.